Monday, January 19, 2009

HARI ASYURA

OLEH: IBNU SAID

“Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) Dalam Kitab Allah semasa ia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati, ketetapan yang demikian itu ialah agama yang betul lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu (dengan melanggar laranganNya); dan perangilah kaum kafir musyrik seluruhnya sebagaimana mereka memerangi kamu seluruhnya; dan ketahuilah sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang bertaqwa.” (Surah at Taubah: 36)

Muharram adalah bulan pertama dalam tahun hijrah. Sebelum Rasulullah SAW berhijrah dari Mekah ke Yathrib, kiraan bulan dibuat mengikut tahun Masihi. Hijrah Rasulullah SAW memberi kesan yang besar kepada agama Islam samada dari sudut dakwah, ukhuwah dan syiar Islam itu sendiri. Pada asasnya muharram membawa maksud diharamkan atau pantang. Allah SWT melarang berlakunya peperangan dan pertumpahan darah. Namun demikian larangan ini ditamatkan setelah pembukaan Mekah. Semenjak pemansuhan itu, umat Islam boleh melakukan tugas dan ibadat harian tanpa terikat lagi dengan larangan berkenaan.

Apa yang menarik di dalam bulan Muharram ini ialah umat Islam telah disunatkan berpuasa pada sembilan dan sepuluh Muharram. Ini kerana tarikh 10 Muharram (atau dinamakan hari ‘asyura yang bermaksud sepuluh) mempunyai nilai sejarahnya yang tersendiri di dalam sejarah manusia khususnya umat Islam. Manakala disunatkan juga berpuasa pada sembilan Muharram sebagai mukhalafah (membezakan) di antara kaum Yahudi yang turut berpuasa pada sepuluh Muharram.

Antara perkara penting yang berlaku pada sepuluh Muharram ialah Allah menyelamatkan Bani Israel dari kekejaman Firaun dan tentera-tenteranya serta menenggelamkan Firaun ke dalam laut akibat keingkaran dan keangkuhannya. Oleh yang demikian, tarikh sepuluh Muharram merupakan tarikh bermulanya episod baru dalam kehidupan Bani Israel setelah berabad lamanya ditindas oleh rejim Firaun di bumi Mesir. Firman Allah SWT: “dan Kami bawakan Bani Israil ke seberang laut Merah, lalu dikejar oleh Firaun dan tenteranya, dengan tujuan melakukan kezaliman dan pencerobohan, sehingga apabila Firaun hampir tenggelam berkatalah ia (pada saat Yang genting itu): "Aku percaya, bahawa tiada Tuhan melainkan Yang dipercayai oleh Bani Israil, dan aku adalah dari orang-orang yang berserah diri (menurut perintah)". (Surah Yunus: 90)

Manakala hujah yang menyatakan bahawa peristiwa ini berlaku pada tarikh sepuluh Muharram ialah hadis yang diriwayatkan daripada Ibnu Abbas RA katanya: Sewaktu Rasulullah SAW tiba di Madinah, baginda mendapati orang-orang Yahudi berpuasa pada hari Asyura. Ketika ditanya tentang puasa mereka itu, mereka menjawab: Hari ini adalah hari kemenangan yang telah diberikan oleh Allah kepada Nabi Musa AS dan kaum Bani Israel dari Firaun. Kami merasa perlu untuk berpuasa pada hari ini sebagai suatu pengagungan kami padaNya. Lalu Rasulullah SAW bersabda: Kami lebih berhak daripada kamu ke atas Nabi Musa dalam hal ini. Kemudian baginda memerintahkan para sahabat supaya berpuasa pada hari tersebut. –Hadis Bukhari, Muslim, Abu Daud, Ibnu Majah dan Tirmizi. Kesemuanya di dalam Kitab Puasa.

Nabi SAW tidak menolak dakwaan Bani Israel bahawa pada sepuluh Muharram itu Nabi Musa AS dan kaumnya diselamatkan oleh Allah SWT. Secara tidak langsung, perintah baginda supaya para sahabat berpuasa pada hari tersebut ialah satu pengiktirafan kepada dakwaan Bani Israel.

Mengenai ibadat puasa pada hari ‘asyura ini, Syeikh Sayyid Sabiq di dalam kitabnya Fiqh as Sunnah menyenaraikan beberapa hadis yang menyatakan kelebihan berpuasa pada hari tersebut. Antaranya:

1. Daripada Abu Hurairah RA: Rasulullah SAW ditanya, apakah solat yang paling afdhal selepas solat fardhu? Baginda menjawab, “Solat pada pertengahan malam”. Kemudian ditanya lagi, apakah puasa yang paling afdhal selepas puasa Ramadhan? Baginda menjawab, “(Puasa pada) bulan Allah yang kamu gelarkan sebagai Muharram” – Diriwayatkan oleh Muslim, Ahmad dan Abu Daud.

2. Daripada Aisyah RA berkata: “Sesungguhnya hari ‘asyura merupakan hari yang berpuasa padanya kaum Quraisy di zaman Jahiliyyah. Rasulullah SAW juga berpuasa padanya. Apabila baginda memasuki Madinah, baginda terus berpuasa dan memerintahkan manusia berpuasa. Apabila diwajibkan puasa Ramadhan, baginda bersabda, “Barangsiapa yang ingin berpuasa, teruskan. Barangsiapa yang ingin meninggalkan (juga dibolehkan). – Muttafaq ‘Alaih

3. Daripada Ibnu Abbas RA berkata: Nabi SAW memasuki Madinah dan melihat orang-orang Yahudi berpuasa pada hari ‘asyura. Baginda bertanya, “Apakah ini?” Mereka menjawab, “Ini ialah hari yang baik, Allah menyelamatkan di dalamnya Musa AS dan Bani Israel daripada musuh mereka, lalu Musa AS berpuasa.” Maka Rasulullah bersabda, “Kami lebih layak terhadap Musa daripada kamu.” Baginda kemudiannya berpuasa dan memerintahkan para sahabat berpuasa. -Muttafaq ‘alaih

4. Daripada Abi Musa al Asy’ari RA berkata: “Ini ialah hari ‘asyura yang dimuliakan kaum Yahudi dan dijadikan hari raya. Maka Rasulullah SAW berkata: “Berpuasalah kamu semua.” -Muttafaq ‘alaih

5. Daripada Ibnu Abbas RA berkata: Apabila Rasulullah SAW berpuasa pada hari ‘asyura dan memerintahkan para sahabat berpuasa padanya, mereka berkata : Wahai Rasulullah, ini ialah hari yang dimuliakan Yahudi dan Nasrani. Maka Rasulullah SAW berkata, “Pada tahun hadapan Insya Allah, kita berpuasa pada hari kesembilan.” Maka tidak tibanya tahun hadapan itu sehingga wafatlah Rasulullah SAW. -Diriwayatkan oleh Muslim dan Abu Daud. Di dalam lafaz yang lain sabda Rasulullah SAW : “Seandainya aku masih hidup pada tahun hadapan, aku akan berpuasa pada hari kesembilan (iaitu bersama hari ‘asyura) -Riwayat Ahmad dan Muslim.

Berdasarkan hadis-hadis di atas, para ulama membuat kesimpulan bahawa sunat berpuasa pada hari ‘asyura dengan tiga kaedah :

1. Puasa pada tiga hari iaitu 9, 10 dan 11 Muharram.

2. Puasa pada hari ke 9 dan 10 Muharram

3. Puasa pada hari ke 10 sahaja

Seandainya timbul persoalan, bagaimanakah Nabi SAW menyontohi kaum Yahudi berpuasa pada 10 Muharram padahal baginda sendiri melarangnya di dalam sabdanya, “Bezakanlah kamu daripada Yahudi dan Nasrani… bezekanlah dengan Musyrikin..”. Maka kita menjawab bahawa puasa Nabi SAW pada sepuluh Muharram bukanlah semata-mata menyontohi kaum Yahudi bahkan kaum Quraisy telah terlebih dahulu berpuasa pada hari tersebut sebagaimana yang disebut di dalam hadis di atas yang diriwayatkan oleh Aisyah RA. Oleh yang demikian, dapat diambil kesimpulan bahawa sunat berpuasa sepuluh Muharram dimulakan oleh syariat Nabi Ibrahim sebelum diamalkan oleh kaum Yahudi. -Dr. Yusuf Al-Qaradhawi dalam www.islamonline.net

Manakala kelebihan beramal pada sepuluh Muharram disebut di dalam satu hadis: “Sesiapa yang meluaskan (memudahkan urusan) ke atas dirinya serta ahlinya pada hari ‘asyura, Allah SWT akan meluaskan padanya sepanjang tahun..” Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Baihaqi dan Ibnu Abd al Barr. Hadis ini mempunyai sanad-sanad yang lain namun dikatakan kesemuanya ialah sanad dhoif. Bagaimanapun jika digabungkan sebahagiannya dengan yang lain, ia boleh diterima sebagai hadis yang kuat. – Syeikh Sayyid Sabiq, Fiqh as Sunnah.

Adapun amalan masyarakat melayu kita yang merayakan hari ‘asyura dengan mengadakan program membuat bubur ‘ayura adalah satu perbuatan yang tidak pernah dilakukan oleh baginda SAW. Apatah lagi jika dinisbahkan perbuatan tersebut kepada Nabi Nuh AS dengan mendakwa bahawa Nabi Nuh AS membuat bubur tersebut apabila turun dari kapal. Ia adalah satu dakwaan yang sama sekali tidak mempunyai sandaran di dalam agama. Oleh yang demikian, jika tetap mahu diadakan program membuat bubur tersebut, perlulah diyakini bahawa ia tidak lebih dari program gotong-royong dan jamuan makan yang sememangnya digalakkan di dalam Islam. Manakala membuat bubur itu sendiri seandainya diyakini datang daripada sunnah Rasulullah SAW atau Nabi Nuh, maka ia adalah kepercayaan yang salah dan perlu diperbetulkan.

No comments: